" Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak." (42:20)

Tuesday, May 24, 2011

Program ‘Imarah Masjid dan Rehlah Ukhwah HALUANSiswa Melaka Negeri Sembilan



PULAU SEBANG, 23 Januari 2010– Buat pertama kalinya, HALUANSiswa Melaka dan Negeri Sembilan telah mengadakan satu program yang dinamakan Program ‘Imarah Masjid dan Rehlah Ukhwah HALUANSiswa Melaka Negeri Sembilan. Program ini disertai oleh 20 orang mahasiswa daripada IPT sekitar Melaka dan Negeri Sembilan, antaranya ialah Asasi UIAM, USIM, MMU Melaka, UTeM dan MICET.

Program ‘Imarah Masjid diadakan di Masjid Aleyah, Pulau Sebang manakala program rehlahnya pula dijalankan di Kolam Renang Gunung Tampin, Negeri Sembilan. Aktiviti ini berjalan selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Januari 2010. Tujuan diadakan program sebegini adalah bagi mengeratkan ukhwah dalam kalangan ahli HALUANSiswa sekitar Melaka dan Negeri Sembilan.

Pada hari pertama program tersebut dimulakan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid yang turut dibantu oleh ahli jawatankuasa masjid serta ahli-ahli Koperasi Dana Wawasan Ummah Melaka Berhad (KUDWAH) dan setelah itu para peserta bersolah maghrib secara berjamaah. Setelah itu, program diteruskan dengan tazkirah maghrib oleh Ustaz Hussain Abdullah, Pengerusi Sekreteriat Siswa HALAUN Melaka Negeri Sembilan yang merupakan mahasiswa tahun 3 Universiti Sains Islam Malaysia Nilai. Seusai solah isya’, program diteruskan dengan sesi Ramah Mesra bersama Ahli Jawatankuasa Masjid. Para AJK masjid telah diberikan taklimat pengenalan kepada HALUAN dan HALUANSiswa.

Hari kedua program ini bermula seawal jam 5 pagi dengan sesi qiamullail yang diimamkan oleh Ustaz Hussain Abdullah. Selepas solah subuh berjemaah, program diteruskan dengan Tazkirah subuh oleh Sdr. Khalid Al-Walid Mustafa Kamil, Koordinator HALUANSiswa Melaka N.Sembilan. Rata-rata penduduk dan AJK masjid memberikan respon yang amat baik terhadap program ini.

Rehlah tarbawi pula diadakan pada hari kedua di Kolam Renang Gunung Tampin, Negeri Sembilan. Peluang ini digunakan dengan sebaiknya untuk tambah mengenali antara satu dengan yang lain kerana proses ukhwah dan ta’aruf itu berjalan sepanjang masa. Antara aktiviti sepanjang rehlah adalah barbeku, bermain bola baling air dan membina piramid manusia. Kalimah akhirah disampaikan oleh Ustaz Hussain Abdullah sekitar jam 12.30 tengahari.

Alhamdulillah program seperti ini mempertemukan mereka semua dalam rangkan membentuk satu ikatan hati dan ukhwah Islamiah yang lebih jitu dalam memartabatkan Islam. Semoga dipertemukan lagi ikatan hati ini di lain masa akan dating. Amin.

Mohd Wafiy Akmal Mohd Kadri
Setiausaha Program Imarah Masjid & Rehlah Ukhwah
HALUANSiswa Melaka Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment