" Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak." (42:20)

Tuesday, May 24, 2011

KEM INDIVIDU MUSLIM MENJANA INSAN RABBAN

TIRAM, 16 Jan 2010- HALUANSiswa Selatan dengan kerjasama Biro Kebajikan HALUAN Johor telah mengadakan Kem Individu Muslim atau dikenali sebagai K.I.M 01/11 yang merupakan kem berkala yang diadakan setiap semester bagi mengumpulkan HALUANSiswa Selatan. Kem yang bertemakan ‘Muslim Sebenar Pencorak Suasana’ ini menyasarkan kefahaman dan kesedaran realiti remaja/pemuda pada masa kini, memberikan kefahaman terhadap konsep-konsep asas bagi seorang muslim dan tanggungjawab memelihara tarbiyah sepanjang hayat.

Kem ini berjaya mengumpulkan 60 orang peserta, 25 peserta lelaki dan 35 peserta perempuan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM JB), Kolej Professional Mara Bandar Penawar, Institut Perguruan Temenggong Ibrahim (IPGTI) dan UTeM. Kem yang bertempat di Tiram Indah Village Resort ini turut menyediakan kelebihan suasana eko-pelancongan dan dilihat mencambahkan kekuatan ukhwah baru di kalangan para peserta.

Terdapat tujuh (7) slot penting yang digariskan dalam kem ini. Slot pertama yang dibentangkan oleh En Mustaffa Kamil mengetengahkan deretan sirah para komandan Muslim di zaman Rasulullah. Senarai 25 orang komandan Muslim dengan 1001 kisah suka duka mereka yang jarang diceritakan ternyata membuatkan peserta terasa kerdil jika dibandingkan dengan para sahabat Rasul yang memegang tampuk pimpinan di usia awal belasan tahun.

Slot kelima turut merupakan tarikan utama peserta, di mana aktiviti LDK mengenali pakcik makcik HALUAN dengan pelbagai topik berdasarkan ‘sharing’ dan pengalaman generasi veteran. Aktiviti ini memerlukan setiap kumpulan menemu-bual 3 orang pakcik atau makcik dan menyerlahkan kreativiti peserta dalam mengrumuskan maklumat dalam bentuk ‘mind-map’. Topik-topik yang ‘catchy’ ialah – persediaan & cabaran membina rumah-tangga Muslim dan dorongan melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Penyampaian oleh Ustaz Mohd Fauzi Hatim, penceramah bebas HALUAN mengenai perbezaan dan percambahan aliran di Malaysia turut mendedahkan banyak maklumat mengenai rujukan muktabar, konsep muhaddisin dan realiti permasalahan umat yang berpecah-belah angkara musuh-musuh Islam yang melabelkan gelaran di dalam kumpulan-kumpulan Islam. Ustaz Fauzi menekankan kepentingan wajibnya mengeratkan silaturahim dan adalah haram memutuskan silaturahim dan ukhwah sesama Muslim di samping pentingnya terus bekerja tanpa mengira perbezaan melainkan mengumpulkan kekuatan kesamaan sesama Muslim.

Secara keseluruhan rumusan, adalah disimpulkan dalam semua hal kehidupan seorang Muslim memerlukan; mengeratkan hubungan dengan Allah secara personal yakni merancang keinginan dan pergantungan kepada bantuan dan hidayah dari Allah swt, kepentingan mengutamakan suasana sekeliling, hajat sendiri yang tinggi kepada ilmu-ilmu Islam serta perancangan yang rapi dalam mewujudkan jambatan hati sesama orang sekeliling sama ada di tempat belajar, tempat bekerja mahupun sesama ahli keluarga.

Ucapan penutup yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi HALUAN Johor menekankan pemfokusan semula kepada tiga matlamat utama Muslim iaitu menjadi hamba Allah, menjadi khalifah Allah dan peranannya di bumi serta, memperoleh Mardhatillah dalam setiap pekerjaan. Selain itu, beliau turut menjelaskan kepentingan bersyukur dalam setiap aspek kehidupan dan fokus Muslim, yang merangkumi umur, kesihatan, ilmu dan rezeki, nikmat Iman dan Islam serta seluruh nikmat yang diberikan Allah kepada setiap Muslim.

Kem ini ditutupi dengan nyanyian nasyid ‘Adakah Kau Lupa’ dan ‘Jejak’ oleh Izzatul Islam untuk meniup semula ruh bekerja dan kesedaran dalam diri setiap para peserta. Adalah diharapkan kem ini mampu menjernihkan semula matlamat dan fokus para peserta dalam mengharungi kehidupan dan cabaran-cabarannya. Semoga Allah Ridho dan memberikan kekuatan. Insya-Allah.

Disediakan oleh: Fatimah Mohamad Adi

No comments:

Post a Comment