" Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak." (42:20)

Monday, June 13, 2011

KAHFI2011 ZON SELATAN MENCABAR MINDA PESERTA



Kluang, 4 Jun – Pada 2 hingga 4 Jun, Kelab Remaja Haluan bersama Haluan Siswa negeri Johor telah menganjurkan Kem Asah Fakuliti Insan (KAHFI) di Sekolah Rendah Islam As-Siddiq . Seramai kira-kira 50 orang peserta yang terdiri daripada ahli Kelab Remaja Haluan Johor telah menghadiri kem ini.

KAHFI Zon selatan pada kali telah dipimpin oleh Saiful Islam Bin Izra’ie selaku kem komanden dan dibantu oleh Hanis Amirah Binti Mohd Nor selaku timbalan kem komanden serta dipantau oleh Encik Adam Bin Mohd Kadir selaku pengarah program .Aktiviti yang dijalankan pada KAHFI kali ini adalah berasaskan kepada tiga modul iaitu modul sukan, debat dan rekacipta. Ianya bertujuan untuk mengasah bakat para peserta dalam ketiga-tiga aspek ini. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program adalah ice breaking, team building, pertandingan membina jambatan, pertandingan debat ,pertandingan bola sepak, pertandingan bola tampar, KAHFI Race dan sebagainya.

Debat

Sukan

Rekacipta

Selain itu, slot Program Usrah Minda Kreatif atau lebih dikenali sebagai PEMIKIR juga turut diselitkan dalam KAHFI kali ini. PEMIKIR yang idea asalnya telah dicetuskan oleh ahli KeARAH Perlis bertujuan bagi mengeratkan ukhuwah antara ahli keARAH daerah masing-masing serta memastikan kesinambungan tarbiyah sesama ahli usrah sentiasa berjalan . Para peserta juga telah didedahkan dengan realiti remaja zaman ini dengan mengikuti slot ceramah yang bertajuk “Cabaran Remaja Masa Kini bersama Puan Nozli Hanim . Kupasan beliau yang begitu terpeinci telah membuka minda para peserta untuk lebih berhati-hati dalam menongkah arus zaman kontemporari ini. Lebih menarik lagi, slot ceramah “Tarbiyah Kendiri pula menyusul pada malam berikutnya oleh Encik Abdul Razak Kaprawi. Beliau telah menekankan aspek penjagaan rohani serta racun hati yang kebanyakannya dilakukan remaja masa kini.

Pada hari terakhir, pertandingan akhir bagi setiap modul telah diadakan. Dalam modul rekacipta, jambatan yang telah dibina menggunakan lidi pencungkil gigi telah diuji bagi melihat sejauh mana kestabilannya menampung beban yang ditanggung. Untuk pertandingan akhir modul debat,3 pendebat terbaik dari kalangan peserta lelaki telah bertanding dengan tiga pendebat terbaik dari peserta perempuan. Hakikatnya, pertandingan seumpama ini mampu menyerlahkan bakat terpendam dalam diri para peserta.

KAHFI Zon Selatan kali ini telah dirasmikan oleh Tn Hj Md Yamin iaitu Pengetua Sekolah Menengah Islam As-Siddiq. Katanya, KAHFI yang bertemakan Kearah Menongkah Cabaran ini mampu melahirkan para peserta yang dinamik serta progresif dalam melawan arus jahiliyah yang dirancang oleh barat. Beliau juga turut mengulas beberapa aspek yang berkenaan dengan modul KAHFI kali ini.

Harapannya, para peserta akan terus berusaha kearah menjadi seorang muslim yang dinamik dan berkepimpinan di masa akan datang. Wallahu`alam.

oleh : Asma’ Binti Mohd Kamal

No comments:

Post a Comment