" Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak." (42:20)

Monday, May 23, 2011

HALUANSiswa dekat di hati SMK Bekok

SEGAMAT, 26 Julai 2009- HALUANSiswa terus melebarkan sayapnya dekat di hati masyarakat. Kali ini HALUANSiswa bersama HALUAN Johor telah berganding bahu mengendalikan Kem Motivasi Menuju Puncak Gemilang untuk pelajar-pelajar asrama SMK Bekok Segamat. Program telah diadakan diadakan di Pusat Latihan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Kluang, Johor pada 24 – 26 Julai 2009 yang lalu. Seramai 71 orang pelajar telah hadir yang melibatkan 31 pelajar melayu dan 40 pelajar orang asli. Program ini merupakan anjuran SMK Bekok dengan kerjasama HALUAN Johor, PPD Segamat dan JHEOA Segamat.

Seramai 11 orang fasilitator HALUANSiswa dari KTD dan UTM yang diketuai oleh Sdr Muadz Eswan memikul tanggungjawab mendidik para peserta di sepanjang program berjalan.

Program ini juga dikuatkan dengan kehadiran aktivis HALUAN dari Kluang, Simpang Rengam dan Muar yang diketuai oleh Cikgu Eswan bin Keliwan, Pengerusi Motivasi Dan Kaunseling HALUAN Johor.

Menurut Cikgu Eswan, objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran kendiri peserta, khususnya kalangan pelajar orang asli. Selain daripada itu diharapkan program ini dapat meningkatkan kesedaran peserta untuk serius dan bersungguh-sungguh belajar dan membina akhlak yang terpuji.

Di sepanjang 3 hari 2 malam, peserta telah melalui pelbagai modul yang menarik yang telah di rangka oleh pasukan fasilitator HALUANSiswa yang terlatih. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti ice breaking, ceramah kecemerlangan, bina identiti remaja, persembahan kumpulan, walk a hunt, kuliah subuh dan maghrib bagi yang beragama Islam dan kuliah akhlak bagi yang bukan beragama Islam.

Menurut saudara Faizal Mohd Nor, HALUANSiswa dari KTD, ini merupakan pengalaman berharga bagi beliau kerana dapat mendekati para pelajar kalangan orang asli yang bukan beragama Islam.. Kebanyakan mereka di awal program kelihatan tidak bersemangat, kurang keyakinan diri dan kurang mesra. Namun Alhamdulillah, dengan izin Allah, masuk hari ke dua, mereka semakin ceria dan sentiasa komited di sepanjang aktiviti dijalankan. Potensi mereka semakin menyerlah terutama ketika sesi persembahan kumpulan.

Majlis penutup turut dihadiri Pengetua SMK Bekok, Tn. Hj. Busro Md Said, dan telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pelajaran SPK PPD Daerah Segamat, Tn. Hj. Anuar B Hashim. Turut hadir En. Mohd Saim B Abu Salim, Penolong Pegawai Hal Ehwal Orang Asli Daerah Segamat. dan wakil HALUAN Johor, Cikgu Eswan. Program susulan akan menyusul selepas Aidilfitri kelak, insyaallah.

No comments:

Post a Comment